Dua Wakil Malaysia Dilantik Pakar Antarabangsa Pendidikan Vokasional Untuk BRI

1
99
Inisiatif Belt and Road Initiative (BRI) adalah projek infrastruktur besar-besaran yang diterajui oleh China yang bertujuan untuk menjangkau seluruh dunia. Projek pembinaan landasan kereta api yang dibiayai oleh BRI di Purwakarta, Indonesia - Gambar cfr.org

Pelantikan itu ialah suatu penghormatan kepada Malaysia ketika meniti ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif melalui BRI tahun ini dan meraikan hubungan antara Malaysia dengan China yang ke-50 pada 2024

KUALA LUMPUR — Dua wakil Malaysia dilantik sebagai Pakar Antarabangsa Pendidikan Vokasional untuk Belt and Road Initiative (BRI), Selatan China dalam Sumber Air dan Kejuruteraan Elektrik bersempena dengan Pameran dan Sidang Kemuncak Antarabangsa untuk Pendidikan dan Latihan Vokasional 2023 di Changsha, Hunan, China baru-baru ini.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Rasana Mahamad Ali berkata wakil negara yang dilantik ialah Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib dan Setiausaha Agung PKPB Mohammad Rizan Hassan. 

Beliau berkata pelantikan itu ialah suatu penghormatan kepada Malaysia ketika meniti ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif melalui BRI tahun ini dan meraikan hubungan antara Malaysia dengan China yang ke-50 pada 2024.

“Pelantikan ini juga seiring dengan hasrat Malaysia membina kerjasama pragmatik dalam konteks pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bersama institusi latihan di China yang menandakan gagasan hubungan yang terbina pada masa ini bakal memanfaatkan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini. — Bernama