Dua lelaki didakwa mengurung bekas rakan sekerja di kelab malam

kedua-dua lelaki itu memohon jaminan rendah kerana mereka menanggung keluarga

0
98
Dua lelaki didakwa mengurung bekas rakan sekerja di kelab malam - Gambar Berita Harian
Dua lelaki didakwa mengurung bekas rakan sekerja di kelab malam - Gambar Berita Harian

KUALA LUMPUR — Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini (25 Okt) atas pertuduhan melakukan pemerasan dan mengurung secara salah bekas rakan sekerja mereka di sebuah kelab malam, minggu lepas.

Ahli perniagaan Wong Meng Jit, 35, dan pengurus jualan Loong Yuen Hong, 33, didakwa bersama-sama melakukan pemerasan terhadap Ng Zhou Kang, 30, dengan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM658,000 di sebuah bilik premis hiburan di Kuchai Lama di sini pada 9 malam, 15 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Wong dan Loong juga didakwa bersama-sama mengurung Ng pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan bagi setiap tertuduh, namun peguam Tan Kian Peng yang mewakili kedua-dua lelaki itu memohon jaminan rendah kerana mereka menanggung keluarga.

Majistret M.S Arunjothy membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan kes. — Bernama

Baca lagi: Wan Saiful naik mahkamah lagi esok