PELABUHAN KLANG — Dua kapal ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Selangor pada ahad (5 Nov) kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran di perairan Kapar di sini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Komander Mohd Sharenliza Ghazali berkata, dua buah kapal itu ditahan pada kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika Barat Daya Kapar pada jam 12.15 tengah malam.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, sebuah kapal membawa enam kru warga Indonesia berusia 29 hingga 35 tahun didapati sedang memindahkan diesel lebih kurang 400,000 liter ke sebuah kapal lain.
“Sebuah lagi kapal pula membawa sembilan kru warga Indonesia, satu kru warga Myanmar dan dua kru warga tempatan berusia 20 hingga 35 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (6 Nov).
Beliau berkata kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.
“Kesalahan yang dilakukan ialah mereka gagal memberi dokumen yang mengatakan mereka dibenarkan melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal.
“Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan supaya komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan pihak berwajib,” kata Mohd Sharenliza.
Beliau juga turut berkata, empat kru dari dua kapal yang berdaftar di Malaysia telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut. — MalaysiaXpress