
Dewan Rakyat melabuhkan tirainya hari ini dengan melakarkan kejayaan besar, iaitu membenarkan LKAN dibahaskan buat julung kalinya.
KUALA LUMPUR — Kejayaan terbesar yang dilakar Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung dari 22 Mei lepas adalah membenarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 dibahaskan buat julung kali.
Kerajaan Perpaduan berpendirian perbahasan LKAN merupakan reformasi dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti pengauditan.
Walaupun mendapat tentangan dari Ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan laporan itu tidak harus dibahas, kerajaan tetap meneruskannya bagi mencari penambahbaikan.
Sesi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 pada 7 Jun lalu lengang, apabila kesemua Ahli Parlimen pembangkang mengambil keputusan untuk tidak menyertai sesi perbahasan tersebut.
Persidangan Dewan Rakyat turut tergendala hampir 30 minit sebelum persidangan berhenti rehat apabila Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertikam lidah mengenai keperluan usul itu dibahaskan.
Ahli Parlimen pembangkang berpendapat ia menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membuat teguran dan dapatan terhadap LKAN.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersetuju usul LKAN dibahaskan berikutan permintaan rakyat dan pegawai yang mahu ianya dibincangkan secara terbuka, khususnya yang melibatkan kewangan negara.
Sembilan RUU Diluluskan
Sementara itu, sembilan rang undang-undang (RUU) diluluskan iaitu RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023, RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023, RUU Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023.
Turut diluluskan RUU Insolvensi (Pindaan) 2023, RUU Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2023 dan RUU Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023.
Pada sidang ini juga, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen untuk penelitan lanjut.
Ia berdasarkan Peraturan 54 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya RUU berkenaan dirujuk kepada jawatankuasa itu bagi membuat syor-syor selain meneliti dasar Generasi Penamat (GEG) serta peruntukan berkaitan.
Selain penerangan berkaitan perolehan vaksin COVID-19 menerusi pembentangan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19, Kementerian Kesihatan juga membentangkan Kertas Putih Kesihatan.
Ia antara lain menggariskan status semasa, jurang dan kekangan dihadapi sistem kesihatan negara dan cadangan penyelesaian yang bersifat struktural dan sistemik merangkumi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan tadbir urus secara berfasa dalam tempoh 15 tahun.
Sebelum menangguhkan sidang, Johari berkata persidangan kali ini menyaksikan 10 Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen dipilih melalui mesyuarat pada 20 dan 23 Mei 2023 lepas.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerana memberi kerjasama dan membolehkan persidangan berjalan dengan sempurna.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat akan berlangsung 32 hari dari 9 Okt hingga 30 Nov. — Bernama