Dewan Rakyat Dimaklumkan Kekosongan Kerusi Parlimen Kuala Terengganu

1
72
Dewan Rakyat dimaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disandang oleh Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS. Gambar: Facebook/Ahmad Amzad
Dewan Rakyat dimaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disandang oleh Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS. Gambar: Facebook/Ahmad Amzad

Kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu luar jangka disebabkan penyandangnya Ahmad Amzad dari PAS tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangannya pada pilihan raya umum ke-15.

KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat hari ini menerima pemakluman kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang berkuat kuasa mulai semalam, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau, dalam kenyataan hari ini,  berkata pemakluman kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen berkenaan diberitahu menerusi surat bertarikh 13 Julai daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Menurut Johari, pemberitahuan itu selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan berikutan keputusan mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan penyandangnya Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim daripada PAS  tidak mengemukakan rayuan yang berakhir pada Selasa lalu selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Johari berkata pemakluman berkenaan dibuat susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu yang mengisytiharkan (keputusan) pilihan raya umum bagi kawasan parlimen tersebut pada 19 Nov 2022 adalah terbatal.

SPR Akan Mengadakan Pilihan Raya Dalam Tempoh 60 Hari

Katanya, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan.

Petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong pada 3 Jan lalu dan berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad  memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. — Bernama

Baca juga:
6 State Elections: Seat Allocations Finalized