
Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat
PUTRAJAYA — Sebuah pesawat ringan terhempas berdekatan kawasan perumahan Seksyen U16, di Bandar Elmina, dekat sini, petang ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Dato’ Kapten Norazman Bin Mahmud mengesahkan kejadian tersebut melibatkan sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV dipercayai dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
“Hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2.48 petang, katanya menerusi satu kenyataan media di sini.
Setelah beberapa minit selepas hubungan pertama, pihak Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun tiada sebarang panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut.
“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat, jelasnya.
Pesawat tersebut membawa enam orang (6) penumpang dan dua (2) orang kru pesawat dan sehingga kenyataan ini dikeluarkan, CAAM masih belum dapat memastikan keadaan kesemua mangsa.
“Seiasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016, tambahnya lagi. – MediaHit