Bekas setiausaha politik MB Kedah didakwa minta, terima suapan berkaitan REE

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan

0
70
Mohamad Hilmi Abdul Wahab, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur Nadir Bumi (REE) - Foto Bernama
Mohamad Hilmi Abdul Wahab, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur Nadir Bumi (REE) - Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur Nadir Bumi (REE) di sekitar negeri itu, Julai lepas.

Mohamad Hilmi, 50, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Hilmi didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh, yang ketika itu Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membantu syarikat berkenaan untuk mendapat kelulusan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar Kedah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas di sini, pada 4 Julai lepas.

Dia turut didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama (Liana) bagi tujuan sama di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini, pada 11 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Serah pasport

Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Kedah sebulan sekali sehingga kes selesai.

“Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tarikh sebutan ditetapkan pada 12 Jan depan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan antara RM30,000 hingga RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

“Syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah setiap bulan kerana alamat tertuduh di Kuala Ketil. Tertuduh juga tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya. 

Peguam Syed Naqiuddin Shahab yang mewakili Mohamad Hilmi memohon jaminan RM20,000 kerana anak guamnya perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah, ibu dan bapa mentua serta ibu kepada tertuduh yang uzur. 

“Anak guam tidak bekerja dan sudah ditamatkan kontrak (sebagai Setiausaha Politik Muhammad Sanusi) selepas Pilihan Raya Negeri Kedah sebelum ini. 

“Semua syarat tambahan boleh dituruti dan ia dapat mengurangkan jumlah jaminan bagi kedua-dua kes. Anak guam juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat sejak disiasat pada Julai lalu,” kata peguam itu. — Bernama

Baca juga:
7 tahun penjara, denda 10 juta untuk Syed Saddiq