Bekas pekerja IT didapati bersalah sebabkan kematian Syed Danial

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah

0
87
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, mendapati seorang bekas pekerja bidang IT, Yew Wei Liang bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu - Gambar fail
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, mendapati seorang bekas pekerja bidang IT, Yew Wei Liang bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu - Gambar fail

SHAH ALAM –- Seorang bekas pekerja teknologi maklumat (IT) didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada 2019.

Di akhir kes pembelaan, Hakim Julia Ibrahim bagaimanapun memutuskan kesalahan itu dibawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) dan bukan Seksyen 302 KK dibawah pertuduhan asal dihadapi Yew Wei Liang.

Seksyen 304 (a) memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda.

Terdahulu, Julia dalam penghakimannya menjelaskan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah bawah Seksyen 304 (a) KK dengan mendapati kredibiliti saksi-saksi pendakwaan kekal tidak tercabar sehingga akhir kes pembelaan.

RAKAMAN video yang tular menunjukkan seorang lelaki memegang Syed Muhammad Danial (kanan) selepas insiden kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Southville City pada 13 Ogos 2019.

Julia berkata beban membuktikan hak pertahanan diri dari ancaman kecederaan tubuh terletak di atas tertuduh di bawah Seksyen 105 Akta Keterangan 1950.

“Tertuduh gagal membuktikan terdapat ancaman kecederaan tubuh terhadapnya dan isterinya daripada simati.

“Bagaimanapun, berdasarkan keseluruhan keterangan mahkamah mendapati wujud hak mempertahankan harta tertuduh dari perbuatan khianat oleh simati iaitu merosakkan kereta Innova OKT dengan menggunakan kayu baseball.

“Namun, hak pertahanan harta ini tidak dilanjutkan sehingga menyebabkan kematian simati (Seksyen 104 KK),” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili Peguam Wee Choo Keong dan Yeo Wei Min

Seramai 20 saksi pendakwaan dan 65 eksibit termasuk dokumen berkaitan dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung bermula 27 Oktober 2021.

Sebelum ini, kejadian melibatkan kes tersebut tular di media sosial dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil antara mangsa dan suspek selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan.

Syed Muhammad Danial kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Berdasarkan pertuduhan asal, Wei Liang, 45, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 20 Julai lepas, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu. — MalaysiaXpress