Azalina: Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia akan dibentangkan minggu depan

Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen

0
31
Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara - Gambar Bernama
Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR — Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 antaranya bagi menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia, dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau optimis bacaan kali pertama rang undang-undang itu dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 ini menutup tirai pada 30 Nov.

“Selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai, kami ada tiga hari untuk pembentangan rang undang-undang lain, jadi kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 hari ini (20 Nov).

Pada masa sama, Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

“Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak…Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak,” katanya. — Bernama

Baca lagi: Johari berharap kanak-kanak di Gaza diberi perlindungan