Azalina cabar Samsuri letak jawatan MB Terengganu

0
69
Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar
Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar

KEMAMAN — Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau betul-betul ikhlas mahu mewakili dan berkhidmat untuk penduduk Kemaman sebagai Ahli Parlimen. 

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama jentera Penerangan UMNO Terengganu di sini semalam.

“Memilih calon yang tidak memberi perkhidmatan sebab beliau (selalu) di luar kawasan, yang rugi adalah orang di kawasan itu.

“Kalau beliau yakin, saya nak cabar beliau hari ini letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, fokus kepada Parlimen Kemaman, lawan satu dengan satu, baru adil,” katanya.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Manakala PAS, yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diwakili Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kata Azalina lagi, BN yakin dengan kredibiliti calon ditawarkan dan tidak tergugat dengan keputusan PAS meletakkan Samsuri sebagai calonnya.

Orang Kemaman

“Calon BN adalah yang terbaik kerana beliau orang Kemaman. Saya yakin dengan perwatakan, pengalaman dan kerjaya beliau.

“Kita di BN menawarkan seorang yang akan memberi khidmat kepada BN dan pengundi di Kemaman.

“Bagi saya bila nak memilih Ahli Parlimen keutamaan kepada calon adalah orang yang boleh memberi perkhidmatan dan saya yakin calon kita tawarkan akan memberi fokus kepada pengundi Kemaman sebagai agenda utama perjuangannya,” tambahnya lagi.

PRK Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu setelah penyerahan borang penamaan calon tamat pagi tadi pada jam 10.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15. — Malaysiaxpress