Asa Fan: Anwar perlu segera bantu Gaza dari kemusnahan

PM perlu tonjolkan Malaysia sebagai negara yang boleh menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar

0
149
Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Wilayah Persekutuan, Datuk Asa Fan @ Abd Mateen Fan meggesa perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan Malaysia sebagai negara yang boleh menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar - Gambar Malaysia Xpress
Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Wilayah Persekutuan, Datuk Asa Fan @ Abd Mateen Fan meggesa perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan Malaysia sebagai negara yang boleh menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar - Gambar Malaysia Xpress

KUALA LUMPUR — Malaysia perlu tegas menunjukkan pendirian teguh menyokong tuntutan kemerdekaan Palestin dan menyuarakan bantahan terhadap kekejaman tentera Zionis-Israel.

Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Wilayah Persekutuan, Datuk Asa Fan @ Abd Mateen Fan, ketika ditemui MalaysiaXpress hari ini.

“Setelah mendakwa diugut oleh negara luar, saya lihat kerajaan kini seperti tidak bersungguh-sungguh dan bersikap apologetik kepada perjuangan Palestin.

“Berbincang dengan rakan sejawatan negara lain dan menghantar bantuan kemanusiaan sudah tidak cukup. Keadaan amat genting di Semenanjung Gaza sekarang ini. Israel berterusan membedil Gaza tanpa hati perut.

“Tindakan segera perlu diambil untuk menyelamatkan Gaza dari pemusnahan menyeluruh yang dihadapi umat Palestin daripada rejim tentera penjajah Zionis-Israel,” katanya lagi.

Ujar beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendesak PBB untuk memastikan Malaysia serta lain-lain negara dunia yang memperjuangkan isu Palestin tidak disisihkan dengan sabotaj politik, tidak dizalimi dengan perang ekonomi atau sekatan dagangan.

Menurut Asa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Fansons Berhad, Malaysia wajar mewujudkan satu organisasi rakyat tanpa mengira kaum, agama dan politik, bagi menyuarakan keprihatinan mereka secara serentak dan dengan satu suara.

“Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu menyuarakan keprihatinan secara serentak dan dengan satu suara, tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.

“Inilah waktunya untuk Anwar menonjolkan Malaysia sebagai negara yang boleh menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar.” gesa Asa lagi.

Sebelum ini, Anwar memberitahu beliau menerima ugutan dari negara luar kerana dilihat sebagai pro-Palestin. — Malaysiaxpress

Baca juga:
Anwar: Bantuan kemanusiaan kepada Palestin