Apa yang saya lihat dan selami di Himpunan #DemiNajib

Ramai yang percaya Bossku boleh bantu kerajaan Persekutuan hari ini merancakkan kembali ekonomi negara

0
150
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak @ Bossku - Gambar NST

Semalam saya sedaya upaya menghadirkan diri ke Himpunan #DemiNajib Datuk Seri Najib Razak (DSN) @ Bossku di Dewan Besar, Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh YB Dato’ Mohamad Nizar (Jaja), Dato’ Mohd Nazifuddin (Nazif), Nooryana Najwa (Yana) dan ratusan lagi penyokong-penyokong setia Bossku.

Meskipun hujan turun begitu lebat namun kehadiran para penyokong-penyokong Bossku yang bersemangat telah memenuhi setiap kerusi dan ruang dewan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Majlis diacarakan oleh individu yang dilihat selalu menemani Bossku iaitu saudara Mukhlis. Majlis dimulai dengan sesi tayangan video seterusnya ucapan dari Pak Alias, Zamil Ibrahim, Jaja, Nazif dan diakhiri oleh Yana.

Malu Apa Bossku

Suasana menjadi pilu, sedih dan sebak apabila pengacara melaungkan “Malu Apa Bossku” dan “1 Malaysia” dan disahut oleh semua hadirin di dalam dewan seraya tiba-tiba terimbau akan perkara yang diperlakukan kepada Bossku. Pengorbanan, kejayaan, legasi dan perjuangan Bossku tiada tolok bandingnya jika dinilai dari segi moral dan politik sebagai seorang negarawan.

Kesetiaan Bossku kepada parti Umno, kecintaan kepada negara dan kemesraan beliau dengan rakyat menjadi asbab beliau mengabdikan diri selama lebih 40 tahun sebagai pemimpin dari peringkat DUN sehingga bergelar Negarawan.

Saya duduk bersebelahan dengan bekas Setiausaha Politik (Supol) Bossku, Datuk Ghazali yang turut berkongsi kisah Bossku sepanjang pengelanan beliau dengan bosnya. Apa yg saya belajar semalam dan akan simpan sebaik-baiknya dari Himpunan #DemiNajib.

Kesetiaan dan pengkhianatan

Sejurus Pilihanraya Umum (PRU) 14, Bossku dikhianati oleh orang-orang yang dipercayainya dan dibantu selama ini. Ayat mudahnya “kita akan kenal kawan sejati bila sudah tiada jawatan”. Ini realiti kehidupan kita sebagai manusia.

Kesetiaan beliau terhadap Umno yang kasihi tiada berkesudahan sehinggakan anak-anak Bossku masih terus kekal setia bersama Umno walaupun ayahanda mereka dikhianati dan diperlakukan dengan dahsyat sekali.

YB Datuk Jaja merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan merangkap ADUN Pramu Jaya di Pahang. Datuk Nazif pula bergelar EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Langkawi dan Yana pula berani menyahut cabaran memegang jawatan sebagai EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai. Mereka adalah di antara legasi Bossku.

Sepanjang pengamatan saya di sini, pihak penyokong dan ahli-ahli keluarga Bossku hanya ingin diberi ruang keadilan seluas-luasnya dari segi perundangan dan tidak lebih dari itu.

Bossku is the real & true party man

Bossku tidak pernah sesekali mengarahkan untuk diadakan demontrasi jalanan untuknya. Bossku tidak pernah lari dari setiap perbicaraan yang dikenakan terhadapnya dan Bossku tidak pernah menyusahkan parti dengan isu yang dikenakan terhadap dirinya malah beliau sentiasa membantu parti walaupun dirinya sendiri dalam keadaan tertekan dengan pendakwaan dan perbicaraan di mahkamah.

Saya sebagai ahli Umno merasakan gerakan #DemiNajib wajar disambut bagi menunjukkan solidariti kita semua terhadap Bossku supaya beliau dapat kembali kepangkuan keluarga, parti dan juga untuk negara tercinta.

Najib bina semula negara

Mungkin dengan keberadaan Bossku di luar pagar gerigi besi boleh membantu kerajaan menyusun strategi terbaik bagi menyelesaikan pelbagai kemelut ekonomi yang sedang melanda negara atas kapasitinya selaku mantan Perdana Menteri.

Fenomena “najibeconomic” yang digagaskan olehnya sepanjang 9 tahun menjadi Perdana Menteri telah terbukti dengan pelbagai dasar dan polisi ekonomi beliau menjadi Malaysia lebih berdaya saing dan menjamin kebajikan rakyat. Saya percaya perkara fenomena tersebut tidak akan berulang.

Tetapi ramai yang percaya Bossku boleh bantu kerajaan Persekutuan hari ini merancakkan kembali ekonomi negara.

Nota Pengarang: Artikel ini ditulis oleh Gulam Muszaffar, Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Umno Bahagian Batu

Analisa yang dilontarkan di dalam artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya memberi apa-apa kesan kepada malaysiaxpress.com.