SHAH ALAM — Bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa antara yang dilantik menjadi ahli jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuarat jawatankuasa kerja parti pada Isnin.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan itu diusulkan dan dipersetujui berdasarkan Perkara 25 dan 26 perlembagaan parti.
“Anggota lain yang dilantik adalah Nasrudin Hassan, Mohd Yusni Mat Piah, Wan Rohimi Wan daud, Mohd Zuhdi Marzuki, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Mohd Mazri Yahya.
“Penolong Setiausaha Agung 1,2 dan 3 masing-masing disandang oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil, Khairul Fahmi Matsom dan Mohd Syahir Che Sulaiman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno secara rasmi menjadi ahli Pas pada 10 Jun lalu, selepas menyerahkan sijil keahliannya sempena Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Senawang, Negeri Sembilan.
Shahidan yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno pula bertanding di bawah tiket PN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Arau. — Malaysiaxpress