Anak Hamzah Didakwa Menyimpan Minyak Masak Subsidi

0
83
Dua orang bekas pengarah syarikat, termasuk seorang anak kepada bekas menteri Hamzah Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 9 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada KPDN dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan pada tahun lalu - Gambar MH grafik
Dua orang bekas pengarah syarikat, termasuk seorang anak kepada bekas menteri Hamzah Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 9 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada KPDN dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan pada tahun lalu - Gambar MH grafik

Anak kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin didakwa memberi maklumat palsu dan menyimpan minyak masak subsidi lebih dari had yang dibenarkan

SEREMBAN– Dua orang bekas pengarah syarikat, termasuk seorang anak kepada bekas menteri, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan pada tahun lalu.

Mengikut laporan, tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang ketika kejadian merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdh Bhd bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Anak Hamzah Zainuddin

Anak Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin didakwa di mahkamah atas kesalahan memalsukan dokumen dan menyipan minyak masak subsidi - gambar fail MH
Anak Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin didakwa di mahkamah atas kesalahan memalsukan dokumen dan menyipan minyak masak subsidi – gambar fail MH

Faisal adalah anak kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut dan juga bekas Menteri Dalam Negeri, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke lapan, Muhyiddin Yassin. Sebelum itu, Hamzah pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Turut berdepan tuduhan sama, Azizul Abdul Halim, 55, yang juga merupakan pengarah syarikat yang sama ketika kejadian.

Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak bersubsidi.

Tertuduh Simpan Minyak Masak Bersubsidi Melebihi Had Yang Ditetapkan

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh, sebagai pengarah syarikat Rimba Melati Sdn Bhd, telah didapati melanggar Peraturan 9 (1 ) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak bersubsidi melebihi had 50 metrik ton di premis perniagaan mereka.

Kesalahan itu dilakukan 11 Ogos lalu pada jam 11.15 malam, di premis perniagaan Rimba Melati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang, Seremban.

Rimba Merpati Sdn Bhd, sebagai sebuah syarikat berdaftar, turut didakwa atas kesalahan yang sama dan kedua-dua Faisal dan Azizul, sebagai wakil syarikat, mengaku tidak bersalah.

Selain itu, kedua tertuduh juga didapati telah memberikan maklumat palsu kepada KPDN.

Beri Maklumat Palsu

Mereka dituduh mengemukakan maklumat palsu, berkaitan jumlah barang kawalan yang berada di dalam simpanan dan penjualannya.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sebagai syarikat yang berdaftar, Rimba Merpati Sdn Bhd juga didakwa di bawah kesalahan yang sama. Sekali lagi, kedua tertuduh sebagai wakil syarikat, mengaku tidak bersalah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Ogos 2022, lebih kurang jam 5.00 petang di pejabat KPDN, di Seremban 2.

Jika didapati bersalah, kedua-dua tertuduh berdepan denda sehingga RM2 juta dan penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria kemudian menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Sophian berkata “Ini adalah kes kepentingan awam kerana ia melibatkan barang terkawal.”

Bagaimanapun, peguam bagi tertuduh Qurratu’aini Zafirah Mat Shoib meminta jumlah yang lebih rendah.

“Jumlah yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan adalah berlebihan kerana tujuan ikat jamin adalah untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah (untuk perbicaraan),” katanya.

“Tertuduh juga telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat semasa siasatan dijalankan dan ini juga merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah.

“Tiada risiko untuk Muhammad Faisal melarikan diri kerana dia menetap di Ampang, Selangor bersama isteri yang sedang sarat mengandung serta tiga anak manakala Azizul pula yang menetap di Kuantan tidak lagi bekerja dan mempunyai 10 anak yang empat daripadanya masih bersekolah,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menambah bahawa kedua-dua tertuduh bukan lagi pengarah syarikat Rimba Melati Sdn Bhd, yang kini mempunyai pengurusan baharu.

Hakim Mazni kemudian membenarkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan seterusnya.– mediahit

Baca juga:-

Dewan Kecoh, Isu Pengeluaran KWSP Tidak Dibahas