Amelia Henderson sudah bayar RM10,000

Mahkamah menetapkan perlu membayar ganti rugi am dan faedah lima peratus kepada plaintif

0
132
Beliau diarah membayar lebih rm 200,000 kepada A Aida - Gambar Berita Harian
Beliau diarah membayar lebih rm 200,000 kepada A Aida - Gambar Berita Harian

KUALA LUMPUR – Aktres Amelia Henderson telah menyelesaikan bayaran sebanyak RM10,000 kepada A Aida Production Sdn Bhd mengikut arahan Mahkamah Tinggi dalam kes pelanggaran kontrak berkaitan sebuah drama sejak tahun lalu.

Peguam yang mewakili Amelia, Wan Nurliyana Abdul Rahman mengesahkan maklumat itu dan menyatakan bahawa selebriti India-Scotland itu membuat pembayaran berkenaan pada Jumaat lepas.

“Ya, Amelia sudah membayar ganti rugi itu (seperti diperintahkan mahkamah) pada minggu lepas,” kata peguam itu.

Menurut laporan Sinar Harian pada 27 Oktober lalu, didedahkan bahawa Amelia yang juga dikenali sebagai Amelia Thripura Henderson berusia 28 tahun sebagai pempetisyen tidak perlu membayar RM200,000 kepada syarikat produksi berkenaan.

Sebaliknya, beliau hanya bertanggungjawab bagi ganti rugi RM10,000.

Sebelum ini, Amelia mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang pada asalnya mewajibkan beliau membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi itu pada 18 April lalu.

Saman melanggar kontrak

Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya ketika itu hakim tersebut berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Keputusan mahkamah menetapkan bahawa Amelia rela menerima peranan dalam drama itu, termasuk watak Aira, di mana dia memainkan peranan utama.

Oleh itu, mahkamah menetapkan bahawa Amelia perlu membayar kedua-dua ganti rugi am dan faedah tambahan lima peratus kepada plaintif, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM200,000.

Sebelum ini, media telah membuat liputan pertikaian undang-undang antara Amelia dan pelakon Idris Khan, yang kedua-duanya dituduh oleh A. Aida kerana melanggar kontrak dalam perjanjian drama sama seperti yang telah ditandatangani mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, kes saman membabitkan A. Aida dan Idris Khan mencapai penyelesaian luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk mempertikaikan saman itu.

Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi ini. — MalaysiaXpress

Baca lagi: Amelia Henderson berjaya ketepikan bayaran ganti rugi RM200,000