Amanah Mohon Maaf Atas Kenyataan Khalid Dalam Isu Pengampunan Najib

0
65
Menolak permohonan pengampunan Najib bukan pendirian parti.
Menolak permohonan pengampunan Najib bukan pendirian parti.

Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu menegaskan bahawa parti kepimpinan beliau tidak pernah membuat pendirian menolak pengampunan diraja bekas Perdana Menteri Malaysia keenam Najib Razak.

KUALA LUMPUR — Presiden Amanah Mohamad Sabu (Mat Sabu) memberi penjelasan susulan kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad baru-baru ini yang tidak bersetuju sekiranya Najib diampunkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice’ dalam mana-mana organisasi. Setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan,” kata Mat Sabu.

“Namun dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ia adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti,” tegas beliau.

Katanya, Parti Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH), tertakluk kepada keputusan PH yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.

Semua Pihak Perlu Menghormati Keputusan YDPA

Tambah Presiden Amanah itu lagi, keputusan untuk mengampunkan Najib terletak sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (YDPA).

“Semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada Kerajaan Perpaduan,”

Dalam masa sama, Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, memohon maaf andai kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi parti itu Khalid Samad telah menyinggung perasaan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Presiden Umno Zahid Hamidi (dua dari kiri) bersama Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah (dua dari kanan) menikmati hidangan hari raya di Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di kediaman rasminya di Sri Satria, Putrajaya, Ahad.

“Sempena Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah memohon maaf atas kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan Pengarah Komunikasi, sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan Umno maka kami minta maaf,” katanya.

“Paling penting adalah memperkukuhkan kedudukan kita dalam kerajaaan. Kita sibuk sekarang nak selesaikan isu rakyat selain akan berdepan enam Pilihan Raya Negeri nanti,” tambahnya lagi.

“Jadi kita iltizam untuk perkukuhkan jentera, ukhuwah, kekuatan parti kita bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi yang diadakan di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini pada Ahad.

Permohonan Pengampunan Buat Najib Adalah Atas Jasa Dan Sumbangan Besar Beliau Kepada Negara

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Puad Zakarshi serta beberapa pemimpin lain Umno menyelar kenyataan Khalid Samad yang mahu Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan yang didokong Umno supaya Najib Razak yang juga bekas presiden Umno diberi pengampuanan penuh berdasarkan jasa dan sumbangan besar beliau kepada rakyat dan negara.

Khalid Samad dilaporkan berkata bahawa pendirian Amanah adalah untuk menolak pengampunan Najib yang dilihat sebagai langkah terbaik bagi menjaga nama baik negara selaras dengan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Khalid juga berkata, Amanah berpandangan bahawa pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga kepada seluruh dunia berhubung sikap dan pendirian negara terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Ia akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya lagi.

Walaubagaimanapun, Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada Jumaat lepas belum lagi membincangkan permohonan tersebut — mediahit