Ahli Parlimen Gua Musang wakil ketiga Bersatu sokong Anwar

0
132
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim merupakan Ahli Parlimen ketiga daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan pimpinan perdana menteri Anwar Ibrahim - Gambar FB Mohd Azizi
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim merupakan Ahli Parlimen ketiga daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan pimpinan perdana menteri Anwar Ibrahim - Gambar FB Mohd Azizi

KUALA LUMPUR — Seorang lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim merupakan Ahli Parlimen ketiga daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Ketua Bersatu Gua Musang itu berkata ia dibuat setelah meneliti dan mendengar Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat Malaysia.

“Keputusan saya ini adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk dilaksanakan di Parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya.

Kenyataan Media dari Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi bin Abu Naim

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan media di Facebooknya.

Tiada niat meninggalkan Bersatu

Katanya, beliau tidak berniat untuk meninggalkan atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Sejujurnya saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti Bersatu tetapi demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi marilah sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimanan kita harapkan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, kedua-duanya daripada Bersatu, turut mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar, dengan berkata mereka berbuat demikian bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk kawasan mereka.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudian mengumumkan Suhaili dan Iskandar Dzulkarnain masing-masing digantung daripada parti itu selama empat dan enam tahun oleh lembaga disiplin parti. — Malaysiaxpress

Baca juga:
Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai Covid-19