Ahli Parlimen Gua Musang, Jeli dirujuk ke lembaga disiplin parti

0
73
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Disiplin parti itu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Disiplin parti itu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR — Parti Bersatu akan merujuk dua Ahli Parlimen daripada parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Lembaga Disiplin Bersatu.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Disiplin parti itu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.

“Dua kes pertama melibatkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ahli Parlimen Labuan, masing-masing digantung keahlian empat dan enam tahun oleh Bersatu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di sini, malam semalam.

Keputusan dua lagi Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri merupakan pelanggaran disiplin parti yang serius, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ia bertentangan dengan mandat parti, di mana mereka dipilih berdasarkan kepercayaan mereka terhadap perjuangan Perikatan Nasional,” kata presiden Bersatu itu.

Muhyiddin berkata, beliau mendapat maklumat bahawa terdapat satu tindakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan dengan merasuah dan mengugut ahli parlimennya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli Bersatu supaya bertenang dan teguh mempertahankan prinsip parti ketika kepimpinan parti mengendalikan isu berkenaan.

“Bersatu tidak akan tunduk, tindakan lebih berat akan diambil,” kata Muhyiddin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Bau Naim dan Zahari Kechik dari Jeli menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa dan semalam.

Ini berikutan tanda sokongan terhadap Anwar yang diumumkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid. — Malaysiaxpress