Ahli lembaga pengarah disenaraihitamkan terlibat projek sakit di Selangor

Exco Perumahan mengenal pasti 176 projek perumahan terbengkalai disebabkan isu tanah dan masalah infrastruktur

0
100
pemaju terbabit tidak dibenarkan melaksanakan pembangunan dan hanya berperanan sebagai pemilik syer sahaja - Gambar Bernama
pemaju terbabit tidak dibenarkan melaksanakan pembangunan dan hanya berperanan sebagai pemilik syer sahaja - Gambar Bernama

SHAH ALAM — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini (15 Nov) diberitahu bahawa kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap pemaju bermasalah dengan menyenaraihitamkan nama-nama ahli lembaga pengarah yang terlibat dengan projek rumah terbengkalai.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Borhan Aman Shah berkata sebanyak 176 projek perumahan terbengkalai dikenal pasti di negeri itu membabitkan 35,995 unit yang disebabkan antaranya isu tanah dan masalah infrastruktur.

Beliau berkata kerajaan mendapatkan nama-nama berkenaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang kemudian diedarkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui sistem pendaftaran pemaju di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan oleh PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan diajukan oleh Datuk Seri Jamil Salleh (PN-Dengkil) mengenai statistik projek terbengkalai dan tindakan yang dikenakan terhadap pemaju yang terlibat.

Borhan berkata sekiranya nama-nama pemaju itu telah disenaraihitamkan, pemaju terbabit tidak akan dibenarkan melaksanakan apa-apa pembangunan di negeri berkenaan.

“Ini termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai seorang daripada pemilik syer sahaja di bawah nama syarikat pemaju lain,” katanya. — Bernama

Baca lagi: Tengku Hafiz: Umno tetap berkhidmat untuk rakyat, tiada duit bukan alasan