Agus: Video tular disunting

Walaupun mengaku muncul dalam video kontroversi itu tetapi Agus menegaskan audionya telah ditambah kemudian

0
170
Kedua-dua Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengakui mereka muncul dalam video kontroversi itu tetapi mendakwa video tersebut telah disunting - Foto Bernama
Kedua-dua Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengakui mereka muncul dalam video kontroversi itu tetapi mendakwa video tersebut telah disunting - Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendakwa video perbualannya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular sejak petang semalam telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Agus dan bekas pegawai bawahannya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani menjawab beberapa soalan sukar ketika sidang akhbar khas di sebuah hotel di di Bandar Baru Bangi di sini pada malam Jumaat.

Beliau menafikan melakukan perbualan tidak bermoral itu seperti yang tersiar dalam video berdurasi tiga minit dan menjelaskan hanya berbual biasa serta bertanya khabar kepada Wahab, Penolong Pegawai J-KOM, individu yang berada dalam video tersebut.

“Saya dengan pegawai sudah biasa buat panggilan video dengan orang bawahan untuk urusan kerja di mana-mana. Saya tak nampak di mana salahnya. Wahab (macam) anak kecil sahaja pun, anak sulung saya pun lebih tua daripada dia,” jelas Agus.

“Apa yang anda nak tahu, adakah ini kali pertama saya buat panggilan video? Saya buat dengan semua, pengarah, kakitangan, dengan rakan-rakan…saya rasa itu normal, tak ada salahnya,” katanya.

Kedua-duanya mengakui mereka muncul dalam video kontroversi itu tetapi Wahab mendakwa video asal dirakam tanpa bunyi dan apa yang boleh didengar ialah audio yang ditambah kemudian.

Berikut adalah beberapa solan yang telah dikemukan semasa sidang akhbar tersebut.

Wartawan: Apabila anda mengatakan video itu disunting, bagaimana ia dilakukan, kerana selalunya kedua-dua visual dan bunyi akan dirakam sekali?

Abdul Wahab: Video itu sebenarnya tidak mempunyai audio.

Wartawan: Jadi seseorang mengedit audio ke dalam video?

Abdul Wahab: Saya tidak pasti.

Wartawan: Jadi ini bukan suara anda?

Abdul Wahab: Tidak.

Wartawan: Jadi bukan suara Datuk (Agus) juga?

Abdul Wahab: Tidak.

Wartawan: Tetapi video itu benar?

Abdul Wahab: (angguk) Tetapi tanpa audio.

Wartawan: Jadi perbualan itu tentang apa?

Abdul Wahab: Sembang santai.

Wartawan: Platform apa yang digunakan?

Abdul Wahab: WhatsApp.

Wartawan: Bolehkah video dirakam tanpa audio menggunakan telefon?

Abdul Wahab: Tiada komen.

Mr H

Wahab juga mendedahkan telah diarah orang atasan “Mr H” untuk merekod perbualannya dengan Agus dan individu tersebut turut menawarkan jawatan tinggi dalam J-KOM sekiranya berjaya menjatuhkan Agus.

Wahab juga mengaku telah beberapa kali menghubungi Agus melalui panggilan video tetapi ini kali pertama beliau merakamkannya.

Wahab, 33, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang cahaya mata, baru sahaja dua mingggu berkhidmat sebagai Penolong Pegawai J-KOM, semenjak 1 Nov lepas.

“Semasa pertemuan saya dengan Mr H, saya telah diberitahu kononnya beliau telah mendapat info (maklumat) daripada pihak tertentu bahawa Agus terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral,” katanya. 

Bagaimana, Wahab menegaskan bahawa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka, tidak benar dan akan membuat laporan polis tentang pekara ini dalam masa terdekat.

Ketika ditanya, Wahab berkata tidak mempunyai video asal.

Agus berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh pihak yang kurang senang dengannya dan jawatan yang disandang dalam J-KOM.

“Kita sudah belajar  banyak pengalaman bagaimana seseorang itu boleh jatuh kerana tuduhan seksual dan sekarang ia berlaku kepada saya,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Kajang pagi tadi dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu. 

Mengulas mengenai kerjaya masa depannya, Agus memaklumkan buat masa ini, beliau menghentikan niatnya untuk berhijrah ke Indonesia (tawaran kerja) sementara memberi laluan kepada siasatan kes berkenaan.

“Saya mahu keadilan dan perkara ini disiasat. Saya telah memberi arahan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan. Rakyat tidak akan lupa kejadian ini, ia telah menjadi sejarah dan telah mencemarkan reputasi saya.” katanya lagi.

Khamis lalu, Agus mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu (15 Nov).

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandangnya sejak 2 Februari lalu. — Malaysiaxpress