Agus selesai beri keterangan polis, dedah identiti Mr H

Beliau juga membuat satu lagi laporan polis hari ini terhadap Raja Petra susulan penularan satu video TikTok

0
108
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohamad Agus Yusoff enggan membuat apa-apa kenyataan selepas selesai memberi keterangan di IPD Kajang, Khamis
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohamad Agus Yusoff enggan membuat apa-apa kenyataan selepas selesai memberi keterangan di IPD Kajang, Khamis

KAJANG — Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff telah selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Beliau yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 2 petang, selesai memberi keterangan pada pukul 5.25 petang.

Ketika ditemui media selepas selesai memberi keterangan, Agus berkata beliau telah mendedahkan identiti individu digelar Mr H yang dikaitkan dengan kes berkenaan dalam keterangannya kepada polis, namun beliau enggan mendedahkannya kepada media.

“Saya tidak mahu komen perkara ini (pendedahan identiti Mr H), saya serahkan siasatan kes ini kepada polis,” katanya.

Agus berkata beliau juga membuat satu lagi laporan polis hari ini terhadap pemilik akaun TikTok ‘Raja Petra’ susulan penularan satu video TikTok yang mendedahkan maklumat peribadi beliau.

Dedah maklumat peribadi

Beliau berkata laporan polis itu dibuat kerana maklumat peribadinya yang didedahkan melalui video TikTok akaun ‘Raja Petra’ itu boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarganya. 

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa Agus selesai memberi keterangan di IPD Kajang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pula ketika dihubungi berkata kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Agus dengan seorang individu lain.

Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. — Bernama

Baca juga:
Hakim Ramlee: Saya bukan Mr H