Agihan Kerusi PRN Diputuskan Hujung Mei – Bung Mokhtar

1
34
Bung Mokhtar: Agihan kerusi PRN hujung Mei. Gambar: Bernama
Bung Mokhtar: Agihan kerusi PRN hujung Mei. Gambar: Bernama

Agihan kerusi bagi parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk PRN di enam negeri belum dimuktamadkan lagi.

KUALA LUMPUR — Agihan kerusi untuk parti politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi PRN (Pilihan Raya Negeri) di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu akan dimuktamad hujung Mei ini, kata Ahli Majlis KerjaTertinggi (MKT) Umno Bung Moktar Radin.

“(Agihan kerusi) Belum muktamad dan di peringkat negeri, diminta bincang dan belum diputuskan… ,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT parti itu yang dipengerusikan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju dan perancangan untuk memperkasa parti dalam berhadapan dengan PRN. 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Kelantan dan Terengganu bakal mencapai tempoh matang dan terbubar secara automatik pada akhir Jun ini manakala Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan terbubar pada Julai serta Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menyatakan bahawa PRN di keenam-enam negeri sesuai dilaksana pada Ogos selepas kesemua DUN mencapai tempoh matang.

Umno Mahukan Kerajaan Perpaduan Kekal Hingga Cukup Penggal

Seorang lagi ahli MKT Umno Mohd Puad Zarkashi pula berkata, mesyuarat turut mendengar penjelasan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berhubung saranan beliau agar ahli parti itu mengundi DAP pada PRN kali ini.

“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa dia sebenarnya mengajak ahli menyokong calon Kerajaan Perpaduan, itu sahaja… tiada sebut pasal DAP pun… Kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Ahmad, dilaporkan berkata pengundi UMNO diminta memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan

Ahmad telahpun mengeluarkan kenyataan membetulkan tanggapan dan tuduhan sesetengah pihak yang telah tersasar, berhubung saranan supaya menyokong calon DAP di kawasan masing-masing pada PRN nanti.  Katanya, beliau tidak menyebut secara khusus bahawa ahli Umno disuruh mengundi, calon DAP tetapi secara keseluruhannya, mereka disaran mengundi calon ‘Kerajaan Perpaduan’, demi kestabilan politik negara. — mediahit

Baca juga:
Kes Muhyiddin: Pendakwaan Mohon Semua 7 Kes Dibicarakan Bersama