Adun Belantik Datuk Mohd Isa Meninggal Dunia

1
109
Adun Belantik meninggal dunia.
Adun Belantik meninggal dunia.

Adun Belantik, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia malam tadi akibat jangkitan kuman.

ALOR SETAR — Adun Belantik Mohd Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam ini.

Berita kematian Mohd Isa dimaklumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Saya menerima berita bahawa YB (Yang Berhormat) Datuk (Allahyarham Mohd Isa) telah meninggal dunia lebih kurang pukul 11.23 malam  di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga (Allahyarham),” katanya, melalui satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook beliau.

Sebelum ini media melaporkan Allahyarham Mohd Isa, 69, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Allahyarham telah dikejarkan ke hospital setelah rebah di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Jelutong, pada 3 Mei lalu.

Allahyarham yang telah berkhidmat di DUN Belantik selama tiga penggal, sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serta jantung.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Allahyarham Mohd Isa, calon dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menang kerusi DUN Belantik dengan majoriti 2,574 undi selepas mendapat 9,600 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mohd Tajudin Abdullah (7,026 undi) dan calon PKR Abdul Rashid Abdullah (2,376 undi).

Kedah yang tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan PRU ke-15 pada November lepas akan mengadakan PRN dalam masa terdekat bersama lima negeri lain. — Mediahit

Baca Juga:
Kerajaan Amal Hak Asasi Manusia Berkonsepkan Islam – Menteri Agama