Adam Radlan akan didakwa kes AMLA lagi, minggu depan

Beliau akan didakwa lagi atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram

0
67
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad

KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad akan didakwa lagi atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu hadapan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Farah Yasmin Salleh semasa sebutan kes Adam Radlan, 42, membabitkan lima pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussin hari ini.

“Pada tarikh sebutan lepas, pihak pendakwaan memaklumkan ingin memindahkan kes di mahkamah ini ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 (di hadapan Hakim Suzana), namun terdapat perkembangan baharu iaitu pada 25 Okt lepas, tertuduh telah didakwa dengan kesalahan di bawah Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Pihak pendakwaan juga akan menuduh OKT (Adam Radlan) dengan kesalahan AMLATFPUAA di Shah Alam pada minggu hadapan. Oleh itu pendakwaan mohon satu tarikh baharu untuk permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14, iaitu setelah pertuduhan di Shah Alam selesai,” kata Mohd Fadhly.

Pada prosiding hari ini, Adam Radlan diwakili peguam Wee Yeong Kang.

Menerima suapan

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes. 

Pada 21 Februari lepas, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.

Sementara itu, pada 22 Februari lepas, Adam Radlan didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).

Rasuah

Pada 28 Februari lepas, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada 25 Oktober lepas, Adam Radlan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, dua tahun lepas mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. — Bernama

Baca juga:
Cetak wang palsu beli dadah