45 Murid Dijangkiti HFMD Di Perak – Exco

0
91
45 orang murid dijangkiti penyakit tangan,kaki dan mulut di Perak. Exco ambil langkah kawalan bagi membendung penyakit tersebut daripada terus merebak.
45 orang murid dijangkiti penyakit tangan,kaki dan mulut di Perak. Exco ambil langkah kawalan bagi membendung penyakit tersebut daripada terus merebak.

Bagaimanapun, penularan HFMD di negeri ini belum berada di tahap yang membimbangkan, namun pihak berkaitan telah mengambil langkah kawalan sewajarnya supaya ia tidak berleluasa.

IPOH — Sejumlah 45 murid di beberapa daerah negeri ini antaranya Kinta Utara, Kinta Selatan, Larut, Matang dan Selama, Muallim dan Kerian dikesan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (Hand Foot Mouth Disease, HFMD).

Menurut laporan Bernama, terdapat beberapa kelas prasekolah dan sekolah rendah diarah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah selama sepuluh hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pesta Buku Perak 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini memberitahu, murid yang terlibat diberi cuti kuarantin bagi membendung penyakit tersebut daripada terus merebak.

Bagaimanapun, Khairudin berkata penularan HFMD di negeri ini belum berada di tahap yang membimbangkan namun pihak berkaitan telah mengambil langkah kawalan sewajarnya supaya ia tidak berleluasa.

Tanda Dan Gejala

Menurut portal Kementerian Kesihatan, HFMD lazimnya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun. Ianya disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus. Daripada kumpulan enterovirus tersebut, majoriti jangkitan adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). 

Kebiasaannya gejala HFMD adalah ringan (mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Kes HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti encephalitis dan myocarditis. 

Infografik Kementerian Kesihatan Malaysia


Virus penyebab HFMD boleh terdapat di dalam kerongkong dan najis dan merebak melalui melalui sentuhan terus dengan air liur dan najis mereka yang berpenyakit. Penyakit ini cepat menular di kalangan kanak-kanak. Ia menjangkiti semua golongan umur tetapi majoriti kanak-kanak berumur bawah 6 tahun adalah lebih berisiko.

Tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari dan masa yang paling berisiko untuk menjangkiti orang lain adalah ketika sebelum dan selepas gejala timbul. Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD boleh menjadi punca jangkitan sehinggalah ruamnya kering. Majoriti kes mengalami gejala ringan dan sembuh dalam masa 5-7 hari.

Antara langkah-langkah pencegahan HFMD adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mencuci tangan dengan betul,dan disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar — Mediahit

Baca juga:
Terbongkar Kanak-Kanak 4 Tahun Didera, Rayu Makanan Dari Rumah Berkunci,